19 November 2004

Snatch Thieves News - Updates

[Crimes]

Penganggur dinafi ikat jamin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini semalam, tidak membenarkan jaminan diberikan terhadap seorang penganggur yang mengaku bersalah atas tuduhan meragut beg tangan seorang wanita di Sentul, di sini, minggu lalu.

Majistret Mohd Khairi Haron, membuat keputusan itu terhadap James Arokian, 24, dan menetapkan 28 Disember depan untuk kes itu disebut semula serta bagi menjatuhkan hukuman.

Tertuduh bersama rakannya yang masih bebas didakwa meragut beg tangan berwarna kuning yang mengandungi wang tunai RM17, telefon bimbit jenama Nokia 2100 serta kad pengenalan milik Hui Choi Lian @ Joan Hee, 22.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8.50 malam di Blok 27, Bandar Baru Sentul, 9 November lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Dia juga menghadapi tuduhan kedua iaitu gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen ketika ditahan seorang anggota polis pada hari kejadian.


Polis buru peragut sasar pelancong asing

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang peragut yang menggunakan motosikal jenis Yahama RXZ dengan menjadikan pelancong asing sebagai mangsanya di kawasan segi tiga emas di ibu kota.

Peragut itu disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya empat kes ragut di kawasan berkenaan, semuanya membabitkan pelancong asing, sejak beberapa hari lalu. Malah, dalam tempoh 24 jam kelmarin, dia dipercayai terbabit dalam dua kes ragut.

Dalam kes terbaru, seorang guru warga British menjadi mangsanya ketika bersiar-siar berhampiran Jalan Berangan off Jalan Nagasari, kelmarin.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa yang berjalan kaki bersama suaminya diragut dari belakang oleh seorang penunggang motosikal.

Katanya, mangsa yang berusia 31 tahun kehilangan kamera digital dan wang tunai berjumlah RM2,200.

Dalam kejadian lain, seorang pelancong warga Singapura berusia 34 tahun diragut sewaktu bersiar-siar di Persiaran KLCC pada jam 2.45 petang, pada hari sama.

“Mangsa yang bekerja sebagai pakar kecantikan diragut oleh lelaki yang menaiki motosikal ketika berjalan untuk pulang ke hotel penginapannya.

“Warga Singapura berkenaan kehilangan dua telefon bimbit selain pelbagai jenis mata mata wang bernilai lebih RM5,000,” katanya.

Sumber itu berkata, dalam kes berasingan, seorang ahli perniagaan wanita dipercayai warga Indonesia turut diragut lelaki sama ketika berjalan kaki berhampiran Kampung Baru.

Katanya, dalam kejadian jam 7 pagi, mangsa yang berusia 28 tahun mendakwa beg tangan miliknya diragut dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha RXZ.

“Mangsa mendakwa kehilangan pasport, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM200,” katanya.


Orang awam tangkap peragut

IPOH: Seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas meragut dompet seorang wanita ditangkap orang ramai selepas mengejarnya kira-kira satu kilometer di Jalan Mustafa Al Bakri di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, peragut berusia dalam lingkungan 30-an itu dikatakan melarikan dompet milik mangsa di kompleks beli-belah Ipoh Parade di sini.

Seorang saksi, Farid Azhar, 20, berkata sekumpulan orang awam yang melihat kejadian itu cuba mengejar lelaki itu bagaimanapun gagal kerana terpaksa melalui jalan yang sibuk.

Farid yang sedang menunggang motosikal ketika itu cuba membantu mengejar peragut itu bersama seorang lelaki lain dengan mencarinya di kawasan berhampiran.

“Kami menemui lelaki yang disyaki ketika dia sedang berjalan kaki di Jalan Mustafa Al Bakri di sini sebelum bertindak menahannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Penganggur mengaku salah tuduhan ragut beg tangan wanita

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Seorang penganggur berusia 24 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri dengan cara meragut beg tangan milik seorang wanita.

James Arokian mengaku meragut beg tangan berwarna kuning milik Hui Choi Lian @ Joan Hee, 22, yang mengandungi wang tunai RM17 dan telefon bimbit Nokia 2100 serta kad pengenalan.

Tertuduh juga mengaku bersalah atas tuduhan gagal menunjukkan kad pengenalannya ketika diminta oleh polis.

Dia mengaku melakukan perbuatan itu pada pukul 8.50 malam, 9 November lalu di Block 27, Bandar Baru Sentul di sini.

Majistret Mohd. Khairi Haron akan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh pada 28 Disember depan.

Di mahkamah yang sama, seorang pekerja hotel mengaku bersalah atas tuduhan mencuri pelbagai barangan makanan dan penjagaan rambut milik pasar raya Giant di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Muhamad Norapizan Abd. Manaf, 29, mengaku mencuri satu tin milo, horlick, Gardenia Twiggies Cream Dream, empat botol syampu Pantene dan perapi rambut jenama Rejoice dan Sunsilk yang kesemuanya bernilai RM67.50.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 1.15 tengah hari, 17 November lalu di pasar raya tersebut di Jalan Ampang di sini.

Mohd. Khairi menetapkan 6 Januari tahun depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

9T9: Kepada yang berhasrat nak meragut tu... just watch out, beware kalau tak teruk le kena belasah. Kepada penangkap peragut tu pula... Syabas! Anda memang warga yang berani... namun harus terus berhati-hati bertindak terhadap penjenayah bacul tu.