22 November 2004

Polis diminta proaktif tangani jenayah di Gombak

[Crimes]


Saudara Pengarang,
KEGIATAN ragut di sekitar kawasan Jalan Madrasah, Gombak dekat Kuala Lumpur semakin membimbangkan.

Hampir saban hari ada sahaja kes cubaan meragut di jalan itu oleh penunggang bermotosikal. Yang pergi surau, pergi kedai dan jalan untuk keluar bekerja kerap menjadi mangsa.

Para penduduk di sini kerap menghubungi polis tetapi tiada tindakan berkesan diambil. Apabila aduan dibuat di balai, kedengaran komen-komen yang kurang enak seperti ``sepatutnya ke balai lain'', ``inilah kalau tak hati-hati'', dan ``biasalah kawasan tu, berisiko''.

Anehnya, jarang dapat dilihat polis bermotosikal meronda di kawasan itu yang terletak kira-kira 150 meter dari Balai Polis Gombak dan 200 meter dari pondok polis Taman Melati.

Saya mencadangkan supaya polis mengambil pendekatan lebih berkesan menangani kes ragut di kawasan tersebut dan sekitarnya yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Ini meliputi:

* Membanteras kegiatan penagih dadah. Ramai penagih dadah berkeliaran di kawasan berkenaan terutama di kawasan perumahan DBKL dan rumah pangsa Taman Melati.

* Memperhebatkan pemeriksaan penunggang motosikal termasuk di kawasan tumpuan seperti belakang stesen LRT Taman Melati, sudut-sudut rumah pangsa dan di kawasan gerai.

* Memperhebatkan kegiatan risikan jenayah di kawasan berkenaan bagi mencari dan membongkar `akar' golongan penjenayah ini.

* Menukar modus operasi-operasi cegah jenayah menerusi anggota berpakaian preman di kawasan-kawasan yang kerap berlaku jenayah.

* Polis mewujudkan rangkaian kerjasama erat dengan penduduk setempat menerusi Rukun Tetangga, RELA, persatuan penduduk dan jawatankuasa surau/masjid.

* Para pegawai kanan polis sendiri harus kerap turun padang dan melihat suasana di sesuatu tempat bagi membolehkan mereka memantau kerja anak-anak buah. Selalulah bercakap dengan penduduk untuk mendapat maklum balas sebenar.

Saya juga berharap pegawai dan anggota polis di kawasan-kawasan berkenaan supaya lebih proaktif dalam melaksanakan tugas mereka dan jangan hanya menanti sesuatu terjadi, baru bertindak.

Sebagai contoh di Taman Melati, kegiatan mat rempit atau lumba haram yang selalu menyebabkan kebisingan melampau, seakan-akan tiada tindakan diambil walaupun tempat mereka berkumpul diketahui oleh anggota polis. Malah mereka adakalanya minum di gerai yang sama dan polis tahu di mana rumah penunggang-penunggang itu, yang segelintirnya dipercayai penagih dan peragut.

Saya juga hairan dengan beberapa jalan di Gombak (di bawah seliaan DBKL) yang masih belum mempunyai lampu jalan walaupun tiangnya ada. Ini termasuk Jalan Madrasah. Ironinya, pihak DBKL tidak pernah terlewat atau lupa dalam menuntut cukai pintu tetapi berdiam diri apabila ditanya soal seperti itu.

Semoga pandangan ini dapat mendorong kepada semua pihak untuk berusaha menjayakan gagasan mewujudkan persekitaran dan kawasan perumahan yang lebih selamat untuk warga kota.

Janganlah hanya beri tumpuan kepada penduduk golongan mewah dan memandang ringan kawasan rakyat biasa. - BEKAS POLIS, Gombak, Selangor.