16 March 2005

When not all sausage here HALAL

[My Malaysiana][InterFaith]

From Berita Harian

Kilang sosej 'halal' guna usus babi diarah tutup




KUALA LUMPUR 15 March: Dua kilang pengeluar sosej menggunakan sarung kulit sosej daripada usus babi diserbu semalam dan diarah tutup selama dua minggu, berkuat kuasa serta merta.

Kedua-dua tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak menjaga kebersihan dan Seksyen 15 Akta Perihal Dagangan 1952 membabitkan penggunaan sijil halal yang tamat tempoh.

Sebuah kilang terletak di Kompleks Selayang di sini manakala satu lagi berhampiran Pasar Borong Selayang di sini. Antara barang dirampas 200 kotak berisi sosej, kotak kosong dengan logo 'halal' yang tidak sah, pelekat dan sarung plastik.

Selain itu, sebuah restoran yang beroperasi dalam gedung perabot terkemuka di Damansara Utama, di sini, yang dipercayai menjadi pelanggan utama kilang sosej sama juga diserbu dan 50 kotak berisi produk sama turut dirampas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata pemeriksaan mendapati, kedua-dua kilang itu masih beroperasi walaupun sijil pengesahan halalnya luput pada Januari 2004.

"Tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha yang menggunakan sijil halal tidak sah boleh menjejaskan usaha negara untuk menjadi Pusat Halal Dunia.

"Kita tidak berkompromi dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas bersama-sama menyertai operasi itu.

Operasi yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi itu diketuai Koordinator Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin serta Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman.

Turut serta anggota Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Bahagian Siasatan dan Pendakwaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Kesihatan.

Abdul Rahman juga mendedahkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaku dilantik sebagai ejen bagi membantu pengusaha memperoleh sijil halal.

"Sesiapa didatangi 'ejen' terbabit perlu melaporkan kegiatan itu segera kerana ia sememangnya tidak sah," katanya.

Difahamkan, ejen terbabit mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 untuk setiap permohonan bagi membantu pengusaha mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau jabatan agama Islam negeri.

From Harian Metro

Sosej usus babi

SELAYANG 15 March: Pihak berkuasa membongkar kegiatan sebuah kilang memproses daging sosej yang dikesan menggunakan usus haiwan disyaki babi sebagai sarung sosej.

Kilang berkenaan turut didapati menggunakan logo halal palsu pelbagai jabatan agama pada bungkusan produknya.

Sosej yang dikeluarkan syarikat pengilang bukan Bumiputera itu diedar secara meluas ke beberapa pusat beli-belah terkemuka tanpa disedari pengguna Islam.

Hasil siasatan mendapati pemilik kilang terbabit turut membekalkan hampir 4,000 sosej setiap hari kepada restoran di sebuah pasar raya terkenal di Damansara.

Kegiatan itu didedahkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas mendapati kilang yang membekalkan sarung sosej berkenaan syarikat sama yang turut memproses produk berasaskan daging babi.

Penyelaras Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata Bahagian Siasatan PPIM yang melakukan risikan sebelum ini mendapati kilang terbabit mendapatkan bekalan sarung sosej diperbuat daripada usus haiwan daripada sebuah syarikat yang beroperasi di Subang Jaya.

Menurutnya, pihaknya pernah menyamar sebagai wakil pengilang untuk membuat tempahan sarung sosej terbabit dan syarikat itu mengakui produk itu diperbuat daripada haiwan yang haram dimakan umat Islam.

Perkara itu terbongkar selepas pemeriksaan lebih empat jam oleh 15 pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Kesihatan negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan PPIM di kilang memproses daging sosej dan kilang membuat sarung sosej berkenaan, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, pengilang sosej yang berusia lewat 50-an gagal menjawab soalan berhubung sarung sosej yang digunakan.

Malah, puluhan bungkusan berisi kulit usus terbabit yang siap digaram tidak mempunyai label pengeluar pada tongnya, menyebabkan ia disyaki usus babi mentah yang sudah dibuang lemak.

"Tambah mengejutkan apabila Jabatan Perkhidmatan Haiwan sebelum ini mengesahkan tiada syarikat luar negara yang diiktiraf dan disahkan halal oleh pihak berkuasa negara ini bagi membekalkan sarung sosej berasaskan organ haiwan.

"Oleh itu kita mengesyaki ada sesuatu tidak kena di kilang sosej terbabit. Malah, kebanyakan pengguna terpedaya apabila pengeluar sewenang-wenangnya melekatkan label halal Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada bungkusan produk," katanya.

Menurutnya, sarung sosej yang dihasilkan daripada bahan protein haiwan pada amnya sukar ditentukan halal haramnya kerana selepas haiwan disembelih, kulit usus atau bahan mentah yang diproses menjadi sarung sosej akan melalui satu proses lain yang memerlukan teknik tertentu di kilang berlainan dari rumah penyembelihan.

"Setiap sarung sosej yang dihasilkan memerlukan bahan mentah yang banyak. Kemungkinan bahan mentah daripada haiwan yang disembelih akan bercampur dengan bahan mentah haiwan tidak disembelih adalah tinggi.

"Perkara ini menimbulkan tanda tanya berikutan tiada kilang mengeluarkan usus halal di negara ini. Pengguna Islam perlu dijelaskan berhubung keraguan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Siasatan dan Pendakwaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohamad Sopa Sarjan, berkata pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap pengilang terbabit atas kesalahan menggunakan logo halal Jais yang sudah tamat tempoh pada 28 Januari 2004.

Menurutnya, pengilang terbabit turut menggunakan logo halal palsu Jakim serta satu logo halal lain yang salah ejaan dalam tulisan jawi pada kotak, label pelekat dan bungkusan plastik.

"Pengilang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Perihal Dagangan 1972 kerana kesalahan menggunakan nama agensi kerajaan tanpa kebenaran yang boleh didenda RM250,000.

"Hasil serbuan itu KPDNHEP merampas kotak, pelekat selain 115 kotak sosej yang sudah siap dibungkus," katanya.

Susulan serbuan pertama itu, pihak berkuasa turut membuat rampasan produk berkenaan di sebuah lagi kilang pengeluar barangan makanan yang menggunakan sijil halal tamat tempoh di Selayang.

Hasil siasatan mendapati kilang itu masih menggunakan logo halal walaupun tempohnya sudah tamat pada 28 Januari tahun lalu.

Berikutan itu, pihak berkuasa merampas 95 kotak sosej yang dianggar bernilai RM23,750 serta menyita kilang terbabit selama dua minggu.

Siasatan juga mendapati, kilang itu mengedarkan produk keluaran mereka di beberapa pasar raya dan hotel terkemuka di Lembah Klang.

"Satu serbuan turut dilakukan di restoran di sebuah pasar raya dipercayai mendapat bekalan daripada kilang terbabit dan kami merampas 60 kotak berisi sosej bernilai RM14,425," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, yang turut serta dalam operasi itu berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua kilang terbabit menggunakan logo halal tamat tempoh dan sudah ditarik balik kebenarannya oleh majlis agama.

"Penutupan selama dua minggu itu akan membolehkan pemantauan lanjut dibuat," katanya kepada pemberita selepas serbuan ketiga diadakan di sebuah pasar raya di Damansara.

From Utusan Online

Kerajaan perlu bertindak - Umat Islam berasa dihina sosej 'halal' dicampur usus babi

KUALA LUMPUR 15 Mac - Umat Islam yang berasa ditipu, dihina, dipersenda oleh dua buah kilang sosej kononnya halal, tetapi sebaliknya dicampur dengan usus babi, menggesa kerajaan bertindak segera menghentikan perbuatan seperti itu daripada berulang.

Selain mahu pengusaha itu diharam membuka semula premis perniagaan berasaskan makanan halal, pengusaha-pengusaha bukan Islam lain turut disyarat mencari rakan kongsi Islam.

Beberapa cendekiawan dan pertubuhan bukan kerajaan Islam meminta syarat itu dikenakan ke atas premis bersaiz industri kecil dan sederhana (IKS) yang sering melanggar peraturan tanda halal.

Nada marah itu dilahirkan ekoran serbuan terhadap dua buah kilang memproses sosej di kawasan Perindustrian Kompleks Selayang semalam mendapati sarung makanan itu diperbuat daripada usus babi dan bahan-bahan meragukan.

Kedua-dua kilang itu yang merupakan pembekal utama sosej kepada kira-kira 56 pasar raya dan hotel terkemuka sekitar Lembah Klang turut menggunakan sarung sosej daripada usus biri-biri dan lembu yang disyaki bercampur dengan usus babi.

Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohammed Yusof Hussain berkata, syarikat yang terbabit dengan pengeluaran produk halal diwajibkan mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga pengarah beragama Islam bagi memastikan pengawasan berterusan dapat dijalankan.

"Selama ini majlis pengawalan syariah telah diwajibkan dalam sektor perbankan Islam, tetapi mengapa dalam industri makanan halal tidak diwajibkan?

"Dengan wujudnya majlis ini syarikat bukan Islam akan lebih bertanggungjawab memastikan produk makanan mereka mematuhi syarat halal," katanya yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, tindakan itu termasuk menarik balik lesen perniagaan mereka dan tidak dibenarkan menjalankan sebarang perusahaan yang melibatkan produk makanan.

"Mereka boleh dianggap sebagai penjenayah perdagangan kerana ingin mengaut keuntungan cepat tanpa memikirkan sensitiviti orang Islam di negara ini," tegasnya.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir berpendapat, kejadian seumpamanya jika dibiarkan berlarutan akan menjejaskan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia Halal Hub.

Kejadian itu mengejutkan semua pihak kerana negara kita telah diisytihar sebagai negara Islam yang ingin dikenali sebagai pengeluar makanan halal di dunia,'' ujarnya.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Al Jeffri berkata, kejadian itu adalah salah satu cabaran untuk mewujudkan Halal Hub.

"Malaysia adalah negara Islam yang memberikan kebebasan kepada penganut agama lain dari aspek cara hidup, ibadah dan selera makanan.

"Bagaimanapun, terbukti ia tidak dihormati oleh pihak-pihak tertentu dan ia perlu diberikan perhatian khusus kerana ia bertentangan dengan hasrat kerajaan,'' tegasnya.

Profesor di Jabatan Fiqh, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Datuk Dr. Mahmood Zuhdi berkata, selain mengenakan tindakan tegas terhadap pengeluar terbabit, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis-majlis agama negeri harus melaksanakan pemantauan lebih ketat bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang.

"Pengusaha, sebenarnya tidak memahami konsep haram dan halal sesuatu produk makanan bagi masyarakat Islam dan apabila penguatkuasaan lemah, mereka akan mengambil kesempatan ini untuk tipu pengguna," ujarnya.

Mahmood berkata, Kabinet perlu mengambil berat perkara tersebut kerana ia penting bagi menjaga keharmonian di negara ini.

"Ini kerana umat Islam tidak akan berkompromi dalam soal makanan. Selama ini kita tidak mempunyai perasaan prejudis membeli produk-produk makanan di premis orang bukan Islam, tetapi apabila didapati produk yang dikatakan halal rupa-rupanya tidak halal menyebabkan kita rasa dikhianati dan ditipu,'' kata beliau.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, kerajaan perlu menyenarai hitamkan kedua-dua syarikat terbabit bagi menyekat pembabitan mereka dalam perusahaan produk makanan.

"Selain itu, kerajaan diminta bertindak tegas terhadap pemilik premis yang gagal mendapatkan maklumat tepat mengenai produk tersebut sebelum menjualnya kepada pelanggan," katanya.

Tambah beliau, PPIM juga akan mengheret dua syarikat tersebut ke mahkamah dengan kerjasama orang ramai kerana menipu pengguna dengan mengeluarkan produk yang tidak halal di pasaran.

External Links:
  • Beri sijil tanda halal kepada orang Islam saja
  • Logo halal baru: Kerajaan segera kuatkuasakan

    Memang kurang ajar... kalau tak tahu tu belajarlah apa yang Halal dan mana yang Haram. Halal bukan hanya kerana "No Pork Serve" & "No Liquor Serve" or "Wrong spelling Jakim Halal lable" - Halal bukan terletak pada label... tapi yang lebih utama adalah Halal dari segi hukum, proses serta bahan yang digunakan bagi menghasilkan sesuatu makanan itu.

    Most people has the wrong knowledge that as long as the food doesn't contain pork it is okay to eat [Halal]. Actually, Muslim cannot eat using utensils [wok, spoon and fork or chopstick] that are used to eat or cooked or contained pork. If you used the refrigerator to keep pork inside, Muslim cannot use it too.

    Therefore, these stalls or eating outlet sometimes say that their food is Halal but they do not know the truth. So get tht truth and knowledge because semuanya perlulah menepati hukum syarak dan mengikut ajaran Islam, sebelum ianya boleh dikatakan benar-benar HALAL.