29 October 2004

Abim lancar Tabung Mangsa Krisis Tak Bai

[InterFaith]


AHMAD AZAM (tengah) memasukkan wang ke dalam Tabung Khas Tak Bai, bersama-sama wakil penderma lain bagi membantu keluarga mangsa yang maut dalam rusuhan - Gambar oleh Hasriyasyah Sabudin



KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) melancarkan Tabung Mangsa Krisis Tak Bai bagi membantu keluarga mangsa yang mati dalam tahanan pihak keselamatan Thailand berikutan satu demonstrasi di Selatan Thailand, Isnin lalu.

Presiden Abim, Ahmad Azam Abdul Rahman, berkata semua cawangan Abim negeri akan digerakkan bagi mengutip derma untuk mengisi tabung berkenaan.

Abim juga merayu supaya kutipan derma itu dapat dilakukan di semua masjid di seluruh negara, bagi memudahkan orang ramai menderma khususnya pada setiap Jumaat.

“Kita berharap dapat menyerahkan sumbangan kutipan itu kepada keluarga mangsa yang dikenal pasti pada 10 November ini untuk mengurangkan bebanan mereka terutama dalam suasana menjelang Aidilfitri,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.

Orang ramai yang ingin menyumbang derma boleh menyalurkan kepada Tabung Tak Bai-Abim atau kepada Bank Islam Malaysia Berhad dengan nombor akaun 14-023-01-001121-9. Maklumat lanjut hubungan Nordiran atau Mohd Zaidi.

Dalam kejadian Isnin lalu, kira-kira 2,000 belia Islam melakukan demonstrasi di depan sebuah balai polis di Narathiwat, Selatan Thailand sehingga mencetus dan pertempuran dan enam terbunuh.

Selepas itu, 78 daripada lebih 1,000 yang ditahan mati akibat lemas dan dipijak dalam empat trak untuk dibawa ke sebuah kem tentera.

Pada majlis itu, Abim mendahului senarai menyumbang RM5,000 kepada Tabung Mangsa Krisis Tak Bai, diikuti Koperasi Belia Islam Malaysia Bhd (RM5,000) dan Edisi Cemerlang Sdn Bhd serta Blue-T Comunication Sdn Bhd masing-masing RM500.

Hadir sama Pemangku Setiausaha Agung Abim, Mohd Zaidi Aziz; Pengurus Besar Bahagian Sumber Tenaga Insan dan IT, Wan Ab Rahman Wan Hussein; Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Abim, Nordiran Idris dan Pengurus Akaun Blue-T Comunication Sdn Bhd, Sharul Rizan Noranizan.

Ahmad Azam berkata, beliau juga akan menghantar ahlinya ke Selatan Thailand untuk mengenal pasti semua keluarga mangsa yang perlu diberi bantuan bagi mengurangkan bebanan mereka.

Katanya, Abim mengutuk sekeras-kerasnya keganasan pihak keselamatan Thailand sehingga menyebabkan lebih 84 penduduk Islam mati.

Serentak itu, Abim meminta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) segera menubuhkan pasukan penyiasatan berikutan kejadian itu selain mengambil langkah proaktif sebagai mana peranan damai yang dimainkan dalam krisis di Selatan, Filipina.

Katanya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga perlu menghantar pasukan khas bagi meneliti punca pembunuhan beramai-ramai itu yang semakin meruncing.

Abim turut mendesak kerajaan Thailand membebaskan segera semua penunjuk perasaan yang ditangkap, menubuhkan segera jawatankuasa peringkat tertinggi untuk menangani isu kemiskinan dan pembangunan yang membabitkan pemimpin tempatan, menerima tawaran kerajaan Malaysia yang bersedia membantu membangunkan Selatan Thailand dari segi pembangunan Islam serta pembangunan fizikal.

"Kita berpendapat tindakan berkenaan adalah terlalu ganas dan perlu dihentikan segera. Ia bukan tindakan terdesak pihak tentera Thailand untuk menghentikan keganasan dan pendekatan mereka adalah silap," katanya.

Beliau berpendapat, pihak Thailand sepatutnya menggunakan pendekatan kemanusiaan iaitu membangunkan masalah kemiskinan rakyat di Selatan Thailand yang semakin terabai.