11 November 2004

Mangsa ragut koma tiga minggu meninggal

[Crimes]

Oleh: WAN RAHIMAH DRAMAN

JOHOR BAHRU 10 Nov. - Setelah tiga minggu bertarung untuk hidup, mangsa ragut, Sanorfizah Saleh, 31, yang koma sejak 20 Oktober lalu, akhirnya terpaksa akur pada takdir apabila dia meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.

Ibu kepada enam orang anak itu meninggal dunia tanpa sempat melihat anak bongsunya, Amirul Najm yang kini berusia 21 hari dan dilahirkan melalui pembedahan ketika Sanorfizah masih koma.

Pemergian Sanorfizah berlaku di saat-saat suami dan anak-anaknya menaruh harapan tinggi untuk mereka sekeluarga menyambut ketibaan 1 Syawal yang kian menjelma.

Walaupun Sanorfizah meninggal dunia, ibu malang itu sempat memberi satu `nyawa' melalui ahli keluarga barunya iaitu anaknya, Amirul Najm.

Namun, pemergian Sanorfizah masih belum terbela kerana dua penjenayah yang menyebabkan mangsa koma, masih belum diberkas sehingga kini.

Suami mangsa, Azhar Md. Ali, 33, ketika ditemui di rumah mayat HSA memberitahu, isterinya meninggal kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Kata Azhar, dia berada di sisi isterinya di saat-saat akhir sebelum Sanorfizah menghembuskan nafas terakhir.

``Saya tiba di hospital kira-kira pukul 12 tengah hari dan hanya berkesempatan menatap wajah isteri saya sekejap saja sebelum kakitangan hospital memberitahu isteri saya sudah meninggal dunia,'' katanya sayu.

Kata Azhar, Sanorfizah sebelum ini telah memberikan beberapa tindak balas positif.

``Saya diberitahu oleh kakitangan hospital, isteri saya buat pertama kali membuka mata lewat tengah malam tadi. Malangnya saya tidak berada di sisinya ketika itu,'' katanya hiba.

Dalam kejadian 20 Oktober lalu, Sanorfizah yang sarat mengandung menjadi mangsa ragut ketika menunggang bersendirian apabila motosikalnya ditendang dua penjenayah.

Ketika itu mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Cahaya Baru, Masai menuju ke bandar Pasir Gudang.

Dalam kejadian pukul 10.10 pagi itu, mangsa telah terjatuh dan kepalanya terhantuk pada benda keras menyebabkan dia tidak sedarkan diri akibat kecederaan serius di kepala.

Anak bongsu pasangan suami isteri itu, Amirul Najm, kini dijaga oleh kakak ipar Azhar di Gombak, Selangor.

Lima lagi anak mangsa ialah Norhuzaifah, 12; Mohd. Iskandar, 11; Mohamad, 7; Firdaus, 6, dan Asyif, 2.

Menurut Azhar, tiga daripada anaknya itu masih bersekolah dan mereka dijaga oleh ibu dan ayahnya di Kampung Pondoi, Tampin.

Azhar yang bekerja di syarikat Panasonic Pasir Gudang berkata, dia telah mengambil cuti sejak lebih dua minggu lalu untuk menemani isterinya.

``Selain menjaga isteri, saya juga berulang-alik melihat anak-anak yang kini dijaga kedua-dua ibu bapa saya di Tampin, Negeri Sembilan,'' katanya.

Azhar berkata, amat sukar baginya untuk menjelaskan kematian isterinya itu kepada anak-anak.

``Saya tidak tahu sama ada anak-anak faham pemergian ibu mereka itu,'' katanya.

Azhar tidak membawa anak-anak ke HSA sepanjang isterinya terlantar di hospital itu kerana tidak sanggup membiarkan mereka melihat keadaan ibu mereka dalam keadaan koma.

Beliau berkata, kematian isterinya itu telah dimaklumkan kepada anak-anaknya sebaik sahaja doktor mengesahkan kematian Sanorfizah tengah hari ini.

``Jenazah arwah akan dibawa balik ke Kampung Pondoi bagi membolehkan anak-anak menatap wajah ibu mereka untuk kali terakhir,'' katanya.

Turut berada di rumah mayat HSA ialah ibu mangsa, Jamilah Atan, 51; ayahnya, Saleh Terang, 59, serta adik-beradik dan saudara-mara lain.

Mayat Sanorfizah dibawa keluar dari rumah mayat HSA kira-kira pukul 4.30 petang untuk dikebumikan di Kampung Pondoi, Tampin Negeri Sembilan, malam ini.