1 December 2004

Ragut in News

[Crimes]

Wanita bertindak nekad kejar, rentap jatuh dua peragut

Oleh: YULPISMAN ASLI

KOTA BHARU 1 Dis. - Seorang guru wanita bertindak nekad mengejar dua remaja lelaki yang meragut beg tangannya, dan dapat menarik baju salah seorang daripadanya sehingga menyebabkan motosikal mereka jatuh sebelum suspek ditangkap oleh orang kampung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam di Kampung Gelung Gajah Pasir Mas itu, guru berkenaan, Nor Hayati Ismail, 25, cedera pada lengan kiri kerana turut terjatuh dari motosikalnya.

Berikutan penangkapan kedua-dua suspek terbabit yang berusia 14 dan 15 tahun itu, beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai RM41, sebuah telefon bimbit, dua keping kad bank dan kad pengenalan dijumpai semula.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Pemangku Supritendan Shafie Ismail, mangsa yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tenggara 2, Kulai, Johor, sedang bercuti di kampungnya di Kampung Tempoyak, Bunut Susu di sini.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan balik dari bandar dengan menunggang motosikal seorang diri dan di pertengahan jalan berselisih dengan sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki.

``Kedua-dua lelaki itu memperlahankan motosikal dan berpura-pura bertanya mangsa sama ada terdapat polis di hadapan. Mangsa menggelengkan kepala dan meneruskan perjalanannya. Bagaimanapun, suspek dikatakan mengekori mangsa dan kira-kira 50 meter dari tempat mereka berselisih, pembonceng motosikal itu meragut beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam raga.

``Mangsa bagaimanapun bertindak nekad dengan mengejar motosikal suspek sejauh kira-kira 150 meter, lalu berjaya menarik baju pembonceng motosikal berkenaan.

``Tindakan mangsa menyebabkan suspek gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh. Mangsa turut terjatuh tetapi dia telah menjerit minta tolong.

``Suspek kemudian berjaya ditangkap oleh orang kampung yang melihat insiden tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, suspek yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat, kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis percaya penahanan dua pelajar itu dapat menyelesaikan beberapa kes ragut di sekitar bandar ini dan Pasir Mas.

Nor Hayati membuat laporan di balai polis berhampiran petang semalam.

Sementara itu ibu mangsa, Timah Ismail, 56, memberitahu, Nor Hayati pernah belajar silat sebelum ini.

"Dia keras semangat dan sanggup bergelut dengan pencuri itu. Semasa kejadian, dia kata dia ingat telah mati kerana jatuh dari motosikal," katanya.

Nor Hayati tiada di rumah kerana dikatakan telah pergi ke Tanjung Malim, Perak.


Warga Indonesia didakwa ragut mengaku tidak bersalah bunuh Rosli

SHAH ALAM 30 Nov. - Seorang warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan menikam seorang pemandu van, Rosli Mohd. Saad yang ketika itu cuba menyelamatkan seorang suri rumah daripada diragut pada akhir bulan Jun lalu.

Sahlan berusia 31 tahun berasal dari Tanjung Uban, Indonesia membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk K.N. Segara.

Pada mulanya, Sahlan kelihatan terpinga-pinga apabila dia ditanya mengenai pengakuannya.

Setelah jurubahasa mengajukan pertanyaan sebanyak dua kali, Sahlan memberitahu bahawa dia memohon supaya dibicarakan.

Pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azar Irwan Mohd. Arifin menyebut: Sahlan didakwa telah membunuh Rosli, 41, kira-kira pukul 6.10 pagi, 29 Jun lalu di Persimpangan Kedai Runcit, Taman Mulia Jaya, Hulu Langat dekat sini.

Sahlan dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kes itu akan disebut semula pada 10 Disember ini.

Rosli adalah pekerja di sebuah syarikat pembersihan di Wisma Tani di Kuala Lumpur merupakan orang awam pertama yang mati dibunuh ketika cuba membantu mangsa jenayah kes ragut.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan mencuri secara meragut sebuah beg tangan berwarna hitam milik suri rumah rakyat Indonesia, Sutriah Syukur, 25, yang ingin dibantu oleh Rosli dalam kejadian itu.

Bagi pertuduhan itu, Sahlan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun kes tersebut akan disebut semula di Mahkamah Majistret Ampang pada satu tarikh lain.

Pendakwaan akan mengemukakan permohonan supaya kedua-dua kes itu dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi di sini.

Memetik laporan akhbar, kejadian pagi itu berlaku ketika Rosli dalam perjalanan ke tempat kerja bersama isterinya, Jamilah Abdul Hamid, 32, dan seorang sepupunya dengan menaiki van apabila mendengar jeritan wanita meminta tolong.

Dia kemudian memberhentikan van dan keluar untuk membantu.

Rosli meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri akibat luka parah ditikam tiga kali di dada dan rusuk kiri oleh perompak tersebut.

UTUSAN Online