25 November 2004

PDRM laksanakan sistem integrasi dengan masyarakat cegah jenayah

[Crimes]

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan sistem integrasi bersepadu antara anggotanya dengan masyarakat bertujuan mencegah jenayah di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Som berkata, sistem menyerupai program Rakan COP (polis berorientasikan masyarakat) Kuala Lumpur itu akan diguna pakai bersama aplikasi terkini PDRM iaitu mengarah, mengawal, komunikasi, koordinasi dan informasi (C4I).

Melalui sistem C4I itu, ia berupaya menunjukkan secara tepat, cepat dan terperinci lokasi berhubung sesuatu kejadian jenayah dan seumpamanya di seluruh negara.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem integrasi itu dibuat ekoran kejayaan IPK Kuala Lumpur mengurangkan kadar jenayah di ibu negara sejak Rakan COP dilancarkan pada Julai lalu.

``Kita melihat pendekatan polis Kuala Lumpur menjaga ketenteraman dan mencegah jenayah adalah berkesan sekali.

``Jadi, kita akan memperakukan sistem ini untuk diguna pakai di seluruh negara dalam tempoh terdekat,'' kata Salleh kepada pemberita pada majlis lawatan kerjanya ke IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mustafa Abdullah dan Timbalannya, Datuk Ahmad Bahrin Idrus.

Menurut Salleh, selain membantu mencegah jenayah, sistem integrasi yang disokong teknologi terkini seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) itu juga boleh digunakan bagi membentuk jaringan kukuh antara anggota polis dan masyarakat.

Jelas beliau, pada dasarnya terdapat beberapa IPK kini telah mengguna pakai sistem tersebut tetapi belum lagi diperluaskan ke seluruh negara.

``Pelaksanaan sistem ini akan dijalankan secara berperingkat dan pada masa ini ia sudah selesai dalam fasa pertama iaitu di bandar-bandar besar. Bagi fasa kedua khususnya berhubung perkara logistik, ia dalam proses ke arah itu,'' katanya.

Dalam pada itu, Mustafa memberitahu, pelaksanaan Rakan COP menyebabkan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda menurun sehingga 12.5 peratus sepanjang Januari hingga 21 November lalu berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

``Bagi jenayah ragut di kawasan segi tiga emas misalnya telah menurun dengan ketara iaitu sebanyak 30 peratus manakala kes curi kereta menurun 11.6 peratus; curi van (10.7 peratus); pecah rumah siang hari (8.6 peratus); pecah rumah waktu malam (7.6 peratus); curi motosikal (4.3 peratus) dan lain-lain kecurian (5.3 peratus),'' katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak sembilan kawasan di ibu negara telah dipasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan cegah jenayah.

Katanya, antara kawasan tersebut ialah Ampang Mayang; Ampang Hamsphire; Ampang Bayu; Jalan Conlay; Cangkat Bukit Bintang Tiong Shin; Cangkat Bukit Bintang Alor; Chow Kit dan Lebuh Ampang.

``Kesemua CCTV itu disambung terus ke Bilik Gerakan C4I IPK Kuala Lumpur dan dipantau selama 24 jam oleh pegawai dan anggota bertugas,'' katanya.

Mustafa memberitahu, usaha menambah CCTV ke kawasan-kawasan lain di seluruh ibu negara sedang dijalankan

UTUSAN Online