What have you done, snatcher
[Crimes]
From UTUSAN ONLINE
From Berita Harian 27 January, 2005
From UTUSAN ONLINE
Mangsa ragut koma
MELAKA 29 Jan. - Seorang wanita Indonesia yang menjadi mangsa ragut kini bertarung dengan maut setelah cedera parah apabila beg tangannya diragut dua lelaki bermotosikal di tempat letak kereta Hospital Mahkota, Bandar Hilir, di sini malam Khamis lalu.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Lenny, 37, seorang akauntan di Jakarta, Indonesia, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Mahkota di sini, kini dalam keadaan koma akibat cedera di kepala.
Sehingga tengah hari ini, keadaannya masih dilaporkan kritikal.
Mangsa dikatakan berada di Melaka kerana melancong bersama keluarganya.
Jurucakap polis memberitahu, kejadian berlaku kira-kira 8 malam, ketika mangsa bersama ibunya berusia 61 tahun sedang berjalan di tempat kejadian dipercayai untuk pergi ke pusat membeli-belah Mahkota Parade.
Dua lelaki menunggang sebuah motosikal menghampiri mangsa dan salah seorang daripadanya tiba-tiba meragut beg tangan mangsa.
``Bagaimanapun, wanita itu tidak melepaskan beg tangannya dan telah diseret kira-kira dua meter dari tempat kejadian.
``Akibat ditarik dengan kuat, mangsa telah terjatuh di atas jalan raya dan kepalanya telah terhantuk di atas tanah lalu pengsan,'' kata jurucakap itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata jurucakap berkenaan, peragut terbabit kemudiannya melepaskan beg tangan mangsa dan melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran orang awam yang melihat kejadian itu.
Katanya, mangsa telah dibawa oleh orang ramai ke hospital berkenaan untuk rawatan selanjutnya.
Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Ariffin Sutan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
From Berita Harian 27 January, 2005
Juruwang diragut, RM6,400 lesap
KUANTAN: Seorang juruwang sebuah kolej di sini, terjatuh selepas rambutnya ditarik peragut sebelum melarikan sampul surat mengandungi wang tunai RM6,400 di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku ketika wanita berkenaan berjalan berseorangan untuk menyimpan wang di sebuah bank di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Ahmad Noordin Ahmad Mustafa, berkata mangsa yang berusia 21 tahun tidak cedera.
Dalam kejadian itu, katanya, dua peragut yang menunggang motosikal dikatakan menghampiri mangsa dari hadapan sebelum seorang daripadanya menarik rambut wanita itu.
"Berikutan itu, mangsa terjatuh dan seorang daripada peragut merampas sampul surat yang dibawa sebelum melarikan diri ke arah Jalan Gambut," katanya.
Beliau berkata, mangsa terpaksa melepaskan sampul surat mengandungi wang tunai RM6,400 yang digenggamnya kerana tidak dapat menahan kesakitan apabila rambutnya ditarik.
"Mangsa dikatakan cuba mengejar dua peragut itu, tetapi gagal," katanya di sini, semalam.
<< Home