11 November 2004

Mangsa ragut meninggal dunia selepas tiga minggu koma

[Crimes]

JOHOR BAHRU 10 Nov. - Mangsa ragut, Sanorfizah Salleh, 31, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 12 tengah hari ini setelah koma selama tiga minggu.

Suami mangsa, Azhar Ali, 33, yang berada di sisi isterinya sebelum allahyarham menghembuskan nafas terakhir berkata, beliau berpeluang menatap wajah isterinya itu sebelum kematian Sanorfizah.

"Saya tiba di hospital lebih kurang 12 tengah hari, saya hanya berkesempatan untuk melihat isteri saya sekejap sahaja sebelum dimaklumkan kemudian oleh kakitangan hospital bahawa isteri saya sudah tiada lagi (meninggal dunia)," katanya ketika ditemui di HSA di sini hari ini.

Menurut Azhar, jenazah allahyarham isterinya akan dikebumikan di kampung beliau iaitu Kampung Pondoi Tampin, Negeri Sembilan.

Sanorfizah dimasukkan ke HSA pada 20 Okt. lalu setelah menjadi mangsa kejadian ragut di Kampung Jaya Baru Masai, Pasir Gudang dan telah menjalani tiga pembedahan sepanjang berada di hospital itu.

Azhar dan allahyarham isterinya mempunyai enam orang cahayamata hasil perkongsian hidup mereka iaitu Norhudzaifah, 12, Mohd Iskandar, 11, Mohamad, 7, Firdaus, 6, dan Asyif, 2.

Ketika kejadian ragut itu, Sanorfizah sedang mengandungkan anak bongsu mereka dan bayi itu yang berjaya diselamatkan menerusi pembedahan pada hari pertama mangsa dimasukkan ke hospital dinamakan Amirul Naim.

Sementara itu, bapa allahyarham, Salleh Terang, 59, ketika ditemui di rumah mayat HSA berkata, anak perempuannya itu ketika kecil sentiasa membantu adik-adiknya dan disifatkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab.

"Dia seorang anak yang bertanggungjawab dan amat rapat dengan ibunya, kematiannya satu kehilangan yang besar bagi kami terutamanya adik-adiknya seramai 14 orang ini," katanya.

Turut berada di rumah mayat ialah ibu mangsa, Jamilah Atan, 51, serta sanak saudaranya yang lain. - Bernama