When not all sausage here HALAL II
[My Malaysiana][InterFaith]
From Harian Metro: KL
From Berita Harian
Other Links
When not all sausage here HALAL
Gerak Wanis mahu pengusaha makanan dipantau
Mapan buat laporan polis terhadap 2 kilang
Satu kilang sosej diarah tutup masih beroperasi
From Harian Metro: KL
Nyaris makan sosej babi di kafe
By Mohd Nur Asnawi Daud
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki nyaris termakan roti sosej diperbuat daripada usus haiwan disyaki babi yang dibelinya di sebuah kafe di Jalan Ampang, di sini, pagi semalam.
Roti sosej yang siap untuk dimakan dan dimasukkan perencah secukup rasa itu dijual dengan harga RM5.90 dipercayai dibekalkan sebuah syarikat pengeluar di Selayang yang diserbu pihak berkuasa, Isnin lalu.
Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana berasa ragu-ragu sebelum memakan roti itu dan merujuk kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk mendapatkan kepastian sama ada makanan itu dibuat menggunakan usus binatang dan tidak halal dimakan umat Islam.
Tindakan kafe terbabit secara terangan tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa supaya penjualan sosej diperbuat daripada usus binatang itu dihentikan segera.
Malah, kilang yang dipercayai menjadi pembekalnya sudah diserbu Isnin lalu dan diarahkan menghentikan operasi dua minggu bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Koordinator Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata kegiatan kafe berkenaan terbongkar selepas pihaknya menerima aduan daripada pengguna berkenaan.
"Hasil pemeriksaan kami terhadap sosej yang diberikan pengguna berusia lingkungan 30-an itu mendapati ia dibuat menggunakan usus binatang disyaki babi.
"Sepatutnya mereka (peniaga) lebih peka dan tidak menjual sosej terbabit kerana syarikat pengeluarnya sudah diarahkan menghentikan operasi," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah Gombak, di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya kesal terhadap apa yang berlaku dan kedegilan pengusaha kafe terbabit yang masih menjual sosej terbabit walaupun ia tindakan tidak bertanggungjawab syarikat pengeluar bahan makanan itu dihebahkan media sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, pihak PPIM akan menjalankan siasatan lanjut untuk memastikan sosej yang disyaki menggunakan usus binatang itu tidak dipasarkan kepada umat Islam.
"Mereka seolah-olah tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa dan tidak peka dengan sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
"Apa yang diperhatikan, pelanggan mereka juga terdiri orang Islam yang tidak dibenarkan memakan makanan sedemikian," katanya.
Nirwandy berkata, pihaknya menggesa tindakan lebih tegas dikenakan terhadap kafe berkenaan kerana tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa yang menggesa penjualan sosej yang menggunakan usus binatang itu dihentikan segera.
Dalam serbuan di sebuah kilang di Selayang Isnin lalu, pihak berkuasa berjaya membongkarkan kegiatan kilang memproses daging sosej yang dikesan menggunakan usus haiwan disyaki babi sebagai sarung.
Malah, kilang berkenaan juga didapati menggunakan logo halal palsu pelbagai jabatan agama pada bungkusan produknya sebelum diedarkan secara meluas ke beberapa pusat beli-belah terkemuka tanpa disedari pengguna Islam.
Siasatan mendapati pemilik kilang juga dipercayai turut membekalkan hampir 4,000 sosej sehari ke sebuah pasar raya di Damansara.
Susulan serbuan itu, pihak berkuasa turut membuat rampasan produk berkenaan di sebuah lagi kilang pengeluar barangan makanan yang menggunakan sijil halal tamat tempoh juga di Selayang.
From Berita Harian
Sosej: Mapan lapor polis
By Nazmi Yaakub
SELAYANG: Majlis Permuafakatan Angkatan NGO-NGO Malaysia (Mapan) membuat laporan polis terhadap dua kilang pengeluar sosej kerana menipu pengguna dengan menggunakan sarung kulit sosej daripada usus babi, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.
Pemangku Pengerusi Mapan, Datuk Dr Maamor Osman, berkata laporan polis juga akan dibuat terhadap pengurusan medan selera sebuah gedung perabot terkenal di Mutiara Damansara, di Petaling Jaya kerana masih menjual produk berkenaan.
"Laporan polis perlu kerana isu sosej menggunakan sarung daripada usus babi menimbulkan kegusaran penduduk, terutama yang beragama Islam.
"Malah, peniaga bukan Islam yang tidak terbabit dan sentiasa mematuhi peraturan, turut menerima kesan buruk sehingga perniagaan mereka jatuh mendadak," katanya pada sidang media di IPD Gombak di sini semalam.
Isnin lalu, sebuah kilang di Kompleks Selayang dan sebuah berhampiran Pasar Borong Selayang diserbu pihak berkuasa serta diarah tutup selama dua minggu, berkuat kuasa serta-merta.
Antara barang dirampas ialah 200 kotak berisi sosej, kotak kosong dengan logo 'halal' tidak sah, pelekat dan sarung plastik.
Serbuan dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Bahagian Siasatan dan Pendakwaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kesihatan serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Dr Maamor berkata, pengeluar sosej tidak mengendahkan laporan media dan seolah-olah mencabar serta menghina Sultan kerana ia berkaitan dengan agama dan budaya.
"Oleh itu, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan tegas kerana mereka menjadi barah dan duri dalam daging serta sabotaj terhadap ekonomi negara.
"Malaysia dipandang sebagai peneraju era pembangunan Islam yang sederhana dan sepatutnya menjadi model kepada penghasilan makanan halal," katanya yang juga Setiausaha Agung PPIM.
Beliau berkata, Mapan akan menemui Dewan Perniagaan Islam Malaysia dan Persatuan Peguam Muslim bagi membincang serta merangka draf bagi menangani isu makanan halal negara ini.
"Draf itu akan diusulkan kepada kerajaan bagi menangani isu penting ini secara berkesan," katanya.
Mengenai pelanggan sosej terbabit, Dr Maamor berkata, pihaknya mendapati sekurang-kurangnya 29 premis melanggannya, termasuk hotel ternama di Lembah Klang.
"Kami sudah membuat serbuan sebuah premis di Mutiara Damansara dan mendapati masih dijual," katanya.
Sementara itu, Koordinator Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata pengguna boleh memeriksa sendiri sosej yang dibeli bagi memastikan ia tidak diperbuat daripada usus babi.
"Sosej yang menggunakan sarung usus babi boleh dikenali kerana mempunyai lapisan nipis yang boleh dibuang apabila dipotong.
Pengguna yang mempunyai maklumat boleh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada 019-3591000 dengan memberikan nama dan alamat pengeluar yang disyaki menipu pengguna.
Mereka yang mahu mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi PPIM di talian 03-42533600.
Other Links
<< Home