7 December 2004

Letter About Snatch Thieves

[Crimes]


Tindakan peragut cabar masyarakat

Masihkah kita ingat pada nama-nama seperti Chin Wai Fung, Chong Fee Cheng, Rosli Mohd Saad, Wong Moe Sheng dan Sanorfizah Salleh? Keganasan yang diperlakukan ke atas mereka jelas membuktikan sang peragut pada hari ini semakin berani memperlakukan mangsa di luar batas kemanusiaan. Mereka adalah mangsa-mangsa ragut yang maut untuk tahun ini sahaja.

Mala petaka ragut ini saban hari kian meningkat, seolah-olah sedang bertarung untuk menjuarai carta jenayah terbanyak di Malaysia menyaingi kes-kes jenayah lain seperti rogol, bunuh dan sebagainya. Tidak kira sama ada mereka adalah peragut amatur ataupun peragut kampungan, masing-masing bertarung untuk mencari mangsa.

Saban hari media massa mendedahkan satu demi satu kejadian ragut yang kadang-kadang hampir setiap hari pasti ada mangsa jenayah ragut yang dipaparkan di dada-dada akhbar mahupun skrin televisyen. Peragut bukan hanya membawa musibah rampasan harta benda milik mangsa malahan turut meninggalkan kecederaan fizikal dan psikologi kepada mangsa dan yang lebih memilukan sehingga membawa maut.

Apakah sistem hukuman di negara ini, tidak langsung menggerunkan para penjenayah ini. Adakah hukuman yang dijatuhkan ke atas penjenayah seperti ini terlalu ringan sehinggakan mereka semakin mengganas seolah-olah mencabar sistem hukum di negara ini?

Jenayah ragut bukanlah satu kes jenayah yang asing di Malaysia. Statistik jenayah ragut menunjukkan kuantiti jenayah ini adalah tinggi. Pada tahun 2000 sahaja jenayah ragut sebanyak 15,082 kes. Kes ini telah susut pada tahun berikutnya dengan catatan kes sebanyak 14,368.

Jumlah ini meningkat pada tahun 2002 dengan kes sebanyak 14,640 kes dan jumlah ini terus meningkat pada tahun 2003 dengan 15,798 kes.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan ragut pernah menjadi jenayah keempat terbesar di negara kita dalam kategori jenayah harta benda dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan catatan kes sebanyak 6,640 kes.

Walaupun terdapat sedikit penurunan bilangan kes berbanding tahun lalu (perbandingan mengikut bulan), jenayah ini masih tidak boleh dianggap remeh. Dari segi tahap keganasan, mereka telah menunjukkan keganasan yang melampau terhadap mangsa.

Mereka bertindak tanpa batasan kemanusiaan, memperlakukan mangsa sehingga ada yang maut. Tindakan keganasan seperti ini tidak wajar dianggap sebagai isu picisan lagi. Tindakan yang tegas dan pantas perlu dilakukan oleh pihak yang berkuasa.

Dalam Islam, jenayah ragut ini dikategorikan sebagai Takzir (pemerintah menentukan hukuman) dengan mengambil kira kedudukan orang awam dan keadaan semasa.

Terdapat dua bentuk hukuman untuk kes jenayah ragut iaitu hukuman mengikut tuntutan yang dibuat oleh mangsa dan hukuman Takzir (ditetapkan oleh pemerintah). Seandainya jenayah ragut ini membawa maut, hukuman setimpal dan berat perlu dijatuhkan ke atas pesalah iaitu hukuman mati.

Dalam menangani isu ini, semua pihak seharusnya memainkan peranan. Masyarakat perlu lebih prihatin dengan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa juga perlu meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan-kawasan awam. Kita tidak mahu rakyat di negara ini hidup aman dalam ketakutan.

Golongan wanita khususnya yang sering menjadi sasaran utama peragut juga perlu melakukan tindakan proaktif. Wanita perlu lebih berhati-hati dan mempersiapkan diri dalam menghadapi sebarang ancaman yang datang. Justeru, wanita haruslah melengkapkan diri dengan alat mahupun seni mempertahankan diri. Fenomena hari ini semakin menggesa wanita agar mempersiapkan diri dengan seni mempertahankan diri. Kita tidak mahu golongan wanita terus menjadi mangsa kerakusan jenayah. - NOOR HASLINDA HASHIM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.