Who double cross who II
[My Malaysiana]
From Berita Harian
From Utusan Malaysia
From Harian Metro
Related Post:
Who double cross who
From Berita Harian
Hasmawi nafi Noraini punca batal kahwin
SUNGAI PETANI: Penyerang pasukan bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan, 25, menafikan isterinya, Noraini Abd Razak, 24, menjadi punca beliau membatalkan perkahwinannya dengan bekas tunangnya, Norlida Rahman, 23, akhir tahun lalu.
Katanya, tidak pernah wujud orang ketiga yang menyebabkannya membuat keputusan menggemparkan dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) membatalkan perkahwinan dengan Norlida, kira-kira 19 jam sebelum ia diadakan 17 Disember lalu.
Sejak itu, dia menyerahkan soal jodoh kepada ayah serta ibunya dan hanya mengenali Noraini beberapa bulan lalu.
"Ayah yang atur pernikahan saya dengan Noraini. Kebetulan dia rakan baik bapa mentua saya, Abd Razak Ishak. Selepas ayah beritahu nak pinang Noraini sebulan lalu, saya terima saja.
"Saya kenal Noraini pun tak lama. Kami mula kenal selepas ayah cadangkan Noraini jadi calon isteri tetapi tak pernah keluar bersama hingga keluarga masuk meminang.
"Saya terpikat dan menerimanya sebagai isteri kerana sifatnya yang penyayang, lemah lembut, terserlah sifat keibuannya serta banyak memberi dorongan kepada saya," katanya.
Hasmawi ditemui pada kenduri kesyukuran meraikan pernikahannya di rumah datuk pengantin perempuan di Kampung Haji Kudung Kota Kuala Muda, dekat sini, pagi semalam.
Dia juga berharap bekas tunangnya menerima hakikat tiada jodoh antara mereka dan menyelesaikan kes mereka secepat mungkin dengan baik tanpa perlu ke mahkamah.
Noraini yang bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Jabatan Alam Sekitar Kelantan mengakui terkejut apabila ibunya memberitahu keluarga Hasmawi masuk meminang, tapi memutuskan menerimanya selepas berfikir dan melakukan solat istikharah.
"Mungkin sudah takdir jodoh saya dengan Hasmawi, jadi saya bertekad dan bertawakal menerimanya sebagai suami walaupun saya tahu kesnya pernah menjadi bualan orang ramai," katanya.
Di Pontian, Norlida ketika ditemui berkata: "Saya hanya mampu mendoakan bekas tunang saya bahagia dengan pilihan hatinya."
Beliau mengakui hatinya terluka dengan apa yang berlaku dan akan menjadi sejarah pahit dalam hidupnya.
"Tanda tanya dan persoalan yang bermain di fikiran saya selepas perkahwinan dibatalkan akhirnya terjawab apabila bekas tunang bernikah dengan wanita lain," katanya di sini, semalam.
Norlida berkata, beliau mengetahui pernikahan Hasmawi dengan Noraini kelmarin, tetapi tidak pasti sama ada ia benar, sehingga saya baca akhbar (semalam).
"Saya reda dengan ketentuan Allah jika ini yang ditetapkan dalam hidup dan mungkin ada ada hikmah di sebaliknya," katanya.
Pada 23 Disember lalu, Norlida memfailkan writ saman malu di Mahkamah Tinggi Muar terhadap Hasmawi kerana didakwa membatalkan perkahwinan mereka sebelum pernikahan berlangsung.
Norlida menuntut defendan membayar ganti rugi am, ganti rugi khas berjumlah RM25,470, faedah pada kadar lapan peratus setahun untuk ganti rugi am daripada tarikh penyampaian saman dan penyataan tuntutan hingga ke tarikh penghakiman.
From Utusan Malaysia
Saya ingin bina hidup baru bersama isteri - Hasmawi
SUNGAI PETANI 15 Julai - "Saya ingin membina hidup baru yang bahagia bersama isteri," itulah azam penyerang bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan, 25, selepas melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan keluarganya itu malam tadi.
Hasmawi yang pernah mencetuskan kontroversi apabila membatalkan pada saat akhir perkahwinannya tahun lalu berkata, beliau selepas ini ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan kerjaya demi kejayaannya pada masa depan.
Sehubungan itu menurutnya, beliau ingin melupakan peristiwa lama melibatkan hubungan dengan bekas tunangnya dan mengharapkan keluarga bekas tunangnya juga tidak mengganggunya lagi termasuk menyelesaikan kes lama itu secara baik di luar mahkamah.
"Saya harap cerita lama berkubur dan selepas ini tidak perlu diungkit demi menjaga hati isteri saya," sambil memandang wajah isterinya, Noraini Abd. Razak, 24, ketika ditemui di rumah mertuanya di Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda di sini hari ini.
Hasmawi dan Noraini melangsungkan pernikahan secara sederhana di Masjid Asakirin Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda di sini malam tadi.
Pada majlis pernikahan tersebut, Hasmawi membawa bersama wang hantaran sebanyak RM7,277 dan mas kahwin pula RM500.
Hasmawi yang berasal dari Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang memberitahu, walaupun isterinya itu merupakan pilihan keluarga tetapi beliau percaya pilihan keluarganya itu merupakan yang terbaik untuk menjamin kebahagiaannya.
Jelasnya, beliau mendapati isterinya mempunyai keistimewaan tersendiri seperti mempunyai sifat keibuan, penyayang dan kelembutan.
"Saya berkenalan secara dekat dengan Noraini kira-kira sebulan sahaja, selepas keluarga saya merisik untuk menjodohkan saya dengan gadis pilihan mereka," ujarnya.
Menurutnya, beliau mengambil masa kira-kira seminggu untuk membuat pilihan sebelum bersetuju menerima Noraini sebagai pasangan hidupnya.
Beliau yang pernah bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Pulau Pinang berkata, beliau bersyukur kerana majlis pernikahan yang diadakan di sini malam tadi berjalan lancar.
"Saya hanya hamba Allah, jodoh ditentukan oleh Tuhan dan saya pasrah dengan perkahwinan ini," katanya tersenyum.
Dalam pada itu, Hasmawi turut memohon maaf kepada semua pihak termasuk pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan rakan-rakan seperjuangan dalam pasukan Kedah kerana tidak memaklumkan terlebih awal majlis pernikahannya yang diadakan malam tadi.
Bagaimanapun menurutnya, keluarganya merancang mengadakan majlis kenduri perkahwinan di rumahnya Bukit Mertajam pada hujung tahun ini.
Sementara itu, Noraini yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Kawalan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan berkata, beliau melakukan sembahyang Istikharah apabila keluarganya menyatakan hasrat menjodohkannya dengan Hasmawi.
Katanya, hasil daripada sembahyang sunat itu beliau mendapat petunjuk untuk menerima Hasmawi sebagai suaminya.
"Saya sebelum ini hanya merupakan peminat setia Hasmawi yang lincah bermain bola sepak tetapi tidak sangka akhirnya beliau menjadi teman hidup saya," ujarnya.
From Harian Metro
Isteri pilihan bapa, bukan orang ketiga
BUKIT MERTAJAM: "Tidak timbul soal orang ketiga kerana isteri Hasmawi sekarang (Noraini Abd Razak) ialah pilihan keluarga dan juga pilihan saya sendiri," kata bapa Hasmawi, Hassan Ismail, 57.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pernikahan anak keempatnya itu dengan Noraini, anak kepada seorang anggota polis yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kawalan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kelantan.
Hassan berkata, calon isteri Hasmawi adalah pilihan beliau kerana kebetulan sudah mengenali bapa Noraini sejak 1980-an, dan bukan dicari sendiri oleh anak lelakinya itu.
"Cuma saya minta persetujuan daripada Hasmawi untuk menikahkannya dengan Noraini. Sebenarnya sebulan lalu saya sudah merisik Noraini yang juga seorang peminat Hasmawi.
"Selepas itu, saya beri tempoh seminggu supaya Hasmawi berfikir dan akhirnya dia setuju," katanya ketika ditemui di rumahnya di Machang Bubok di sini, semalam.
Majlis akad nikah Hasmawi dengan Noraini disempurnakan Imam Masjid Asakirin, Ahmad Talib, 64, di Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda, Kedah, kira-kira jam 9 malam kelmarin.
Keluarga Hasmawi menyerahkan mas kahwin sebanyak RM500 dengan hantaran bernilai RM7,777 bersama dua bentuk cincin kepada pengantin perempuan.
Hassan berkata, keluarganya juga tidak mahu menunggu terlalu lama (keputusan mengahwinkan Hasmawi) kerana tidak mahu masalah lain timbul seperti sebelum ini.
"Isteri Hasmawi sekarang (Noraini) bukan orang ketiga. Baru sebulan lalu saya merisiknya dan pilihan saya sendiri. Saya harap peminat dan orang ramai faham keadaan dia (Hasmawi).
"Tidak ada mana-mana ibu bapa pun yang hendak menyusahkan anak sendiri. Saya rasa sudah memilih yang terbaik untuk Hasmawi dan dia pun sudah berfikir selama seminggu sebelum bersetuju.
"Sebagai orang tua, apa yang diharapkan ialah kebahagiaan anak," katanya.
Sementara itu abang Hasmawi, Haslan, 31, berkata dia berharap peminat dapat mendoakan kebahagian adiknya itu dan tidak menjadikannya satu isu seperti sebelum ini.
Menurutnya, biarlah pasangan terbabit membina hidup baru.
"Perkahwinan Hasmawi dengan kes saman sebelum ini adalah kes berasingan. Kami juga minta agar tidak mengaitkan perkahwinan Hasmawi dengan orang ketiga," katanya.
Related Post:
<< Home