Another part of the story
[My Malaysiana]
From Harian Metro
From Harian Metro
From Harian Metro
From Berita Harian
From Harian Metro
Maafkan saya mak
By Mohd Ramzi Sanny, Ahmad Saufi Mansor, Zainuddin Zain, Ibrahim Isa, Zalifah Mohd Yatim & Ahmad Naim Tahir
BUKIT MERTAJAM: Penyerang bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan, 23, memohon maaf berulang kali kepada ibunya sambil menitiskan air mata apabila pulang ke rumahnya, di Machang Bubok, dekat sini, kelmarin. Bagaimanapun, dia yang menghilangkan diri sejak Khamis lalu tidak ceria sejurus tiba di rumah seorang diri dengan kereta, kira-kira jam 7 malam kelmarin.
Kelmarin, Harian Metro melaporkan pemain posisi penyerang pasukan Kedah itu membatalkan perkahwinannya dengan Norlida Abdul Rahman, 23, menggunakan SMS pada jam 2 pagi Jumaat lalu iaitu 19 jam sebelum majlis akad nikah diadakan.
Hasmawi kemudian menghilangkan diri, sekali gus tidak muncul pada majlis akad nikah dan persandingan yang terpaksa diteruskan dengan majlis makan-makan saja esoknya.
Ibu pemain itu yang enggan nama disiarkan, berkata ketika tiba di rumah, muka anaknya muram saja.
"Saya gosok dadanya sambil cium dia dan minta bertenang dan banyak bersabar.
"Saya tidak mahu bertanya banyak pada dia kerana hanya mereka berdua (Hasmawi dan bekas tunangnya, Norlida Abdul Rahman) mengetahui cerita sebenar," kata ibunya ketika ditemui di rumah pemain itu, semalam.
Selepas berbual seketika, beliau berkata, Hasmawi masuk ke bilik dan tidur sebelum keluar bersama abangnya dengan menaiki kereta tanpa diketahui arah mereka pagi semalam.
"Saya tidak terkejut melihat kelibatnya muncul tiba-tiba kerana naluri hati memang yakin dia akan pulang. Cuma sedih melihat keadaannya agak muram mungkin akibat tertekan.
"Sejurus tiba, Hasmawi ada memeluk saya dan saya menciumnya. Dia kemudian meminta maaf berulang kali atas apa berlaku dan menangis kerana sudah menyakiti hati saya.
"Saya tidak berani tanya kerana bimbang dia hilang lagi tetapi menasihatkannya supaya sabar dan pulang berlatih," katanya.
Bagaimanapun, Hasmawi tidak berkata apa-apa, sebaliknya lebih banyak mendiamkan diri sambil membaca akhbar berhubung kisah dirinya yang hangat diperkatakan.
Ibu Hasmawi berkata, pemain itu ada menelefon tunangnya, Norlida untuk membatalkan majlis pernikahan beberapa hari sebelum menghantar SMS, pada awal pagi Jumaat lalu.
Malah, katanya, ketua tempat kerja Norlida ada menelefonnya di rumah memaklumkan tunang Hasmawi itu menangis hingga pengsan ketika bekerja.
"Saya menghubungi keluarga pengantin perempuan pagi Sabtu lalu memohon maaf dan memaklumkan kami tak dapat datang ke Kluang kerana Hasmawi menghilangkan diri," katanya.
From Harian Metro
Hasmawi Hassan: Keluarga Hasmawi bertandang
By Mohd Ramzi Sanny
KLUANG: Keluarga Hasmawi Hassan bertandang ke rumah bekas tunang pemain bola sepak Kedah itu di Felda Ulu Dengar, Kahang Timur, dekat sini, malam tadi untuk meminta maaf dan melahirkan kesal terhadap perbuatannya membatalkan pernikahan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) Jumaat lalu. Bapa dan abang sulung Hasmawi yang dikenali sebagai Haslan bersama seorang ahli keluarga mereka tiba di rumah Norlida Abdul Rahman, 23, kira-kira jam 9.30 malam tadi.
Mereka menghabiskan masa kira-kira 30 minit bersemuka dengan jururawat itu dan keluarganya.
Menurut Norlida, kehadiran bapa Hasmawi diterima dengan baik dan dia menyatakan permohonan maaf dan kesal terhadap perbuatan anaknya yang membatalkan pernikahan pada saat akhir.
"Kehadiran mereka memang tidak disangka kerana kami tidak dimaklumkan terlebih dulu. Saya sekeluarga menerima kehadiran bapa Hasmawi dan abangnya dengan baik, kami berbincang dengan hati terbuka.
"Kami menerima permohonan maaf keluarga Hasmawi terhadap apa yang berlaku dan berterima kasih dengan kehadiran mereka untuk memberikan penjelasan," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.
Norlida berkata, bapa Hasmawi bagaimanapun tidak dapat menjelaskan sebab anaknya memutuskan pertunangan pada saat akhir iaitu 19 jam sebelum majlis akad nikah dilangsungkan.
"Bapa Hasmawi memberitahu dia sukar untuk menjelaskan sebab anaknya bertindak sedemikian.
"Bapanya datang untuk meminta maaf bagi pihak keluarga terhadap kegagalan majlis perkahwinan diteruskan serta kelewatan mereka datang bersemuka," katanya menjelaskan pertemuan itu berlangsung dalam suasana tenang dan rasional.
Bagaimanapun, Norlida menegaskan walaupun keluarga Hasmawi datang tanpa kehadirannya untuk minta maaf, dia masih tidak berpuas hati kerana masih tidak mendapat penjelasan sebab sebenar pembatalan perkahwinannya pada saat akhir.
"Persoalan masih belum terjawab. Saya masih tidak berpuas hati dan mahukannya (Hasmawi) berikan penjelasan mengapa dia mengambil tindakan itu.
"Saya mahu tahu sebab dia memutuskan pertunangan. Itu saja," katanya.
Katanya, dia tidak dapat memaafkan perbuatan tunangnya itu dan hatinya sudah tertutup untuk menerima Hasmawi kembali.
Mengenai cadangan untuk menyaman Hasmawi yang turut dibincangkan dalam pertemuan itu, Norlida berkata, dia sekeluarga tetap dengan keputusan untuk membawa perkara itu ke mahkamah.
From Harian Metro
Hasmawi Hassan: Tak acuh nak nikah
BATU PAHAT: Hasmawi Hassan, 23, atau mesra dengan panggilan Awi di kalangan teman rapat dilihat bersikap acuh tak acuh mengenai majlis perkahwinannya.
Gelagat itu membuatkan rakan sepasukan dan teman seperjuangan keliru mengenai hubungan di antara Hasmawi dan Norlida Abdul Rahman, 23.
"Dia macam tidak bersungguh kerana lazimnya, orang yang mahu berkahwin tentu bersemangat dan memberikan kad bagi memastikan tetamu tidak lupa majlis perkahwinan mereka," kata seorang rakannya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, ini berdasarkan sikap pemain itu yang seolah-olah tidak begitu serius ketika membuat jemputan kepada rakan-rakan untuk menghadiri kenduri itu.
"Sejak berita itu tersiar, saya cuba menghubungi Hasmawi dan ingin tahu apa sebenarnya berlaku tetapi telefon bimbitnya dimatikan," katanya yang pernah beraksi bersama Hasmawi untuk skuad Pulau Pinang, musim lalu.
Sementara itu, di ALOR STAR, kapten Kedah, Megat Amir Faizal Al-Khalidi Ibrahim pula berkata, Hasmawi tidak menjemput rakan sepasukan atau rakan serumahnya sama ada menghadiri majlis kenduri di Kluang atau di Bukit Mertajam.
Megat Amir Faizal berkata, dia terlihat kad jemputan perkahwinan Hasnawi ketika berada di rumah tetapi tidak menyoal pemain itu kerana menyangka kad akan diedarkan kemudian.
From Berita Harian
Bukan adat Melayu: Rais
KUALA LUMPUR: Khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak wajar dijadikan alat bagi menghapuskan hak atau mencemar budaya turun temurun masyarakat Melayu, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata, tindakan pemain bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan, 23, menggunakan SMS bagi membatalkan niat untuk mengahwini Norlida Abdul Rahman, 23, kurang 24 jam sebelum mereka dijadualkan bernikah, secara tidak langsung meletakkan nilai komersial terhadap kesucian institusi perkahwinan.
"Mengapa mesti beralih kepada SMS untuk dijadikan alat mengingkari janji... orang Melayu sepatutnya lebih beradab daripada itu.
"Dari aspek budaya, ia jelas menyimpang daripada amalan orang Melayu. Sepatutnya kalau dah tak nak, pihak lelaki kena hantar rombongan ke rumah keluarga perempuan dan cakap baik-baik.
"Semua ini timbul kerana masyarakat Melayu cepat meniru budaya asing," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
<< Home