22 December 2004

Another ragut case at Muar

[Crimes]

From Harian Metro

Peragut cedera tembung kereta

By Jamaludin Husin

MUAR: Seorang peragut cedera kaki kirinya apabila motosikal dinaikinya bertembung dengan kereta dalam cubaan melarikan diri selepas meragut dompet seorang pekerja syarikat guaman di Jalan Sisi, di sini, petang semalam.
Bagaimanapun, rakannya yang menunggang motosikal itu sempat melarikan diri apabila melihat orang ramai berkejar ke tampat kejadian untuk memberkas mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa, Norazura A Rahman, 33, berjalan bersama seorang rakannya untuk membeli pisang goreng di sebuah gerai di persimpangan Jalan Sisi-Jalan Ali.

Sebelum sampai ke gerai berkenaan, tiba-tiba dompetnya diragut seorang lelaki dari arah belakang dan melarikan diri bersama rakannya dengan sebuah motosikal yang menunggu berdekatan dengan tempat kejadian.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa peragut itu, apabila motosikal berkenaan bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan Jalan Sisi-Jalan Meriam.

Mangsa yang menyedari dompetnya dilarikan menjerit meminta pertolongan orang ramai, sambil mengejar lelaki itu.

Orang ramai yang melihat kejadian itu mengepung lelaki berkenaan, manakala anggota polis yang tiba di tempat kejadian memberkasnya.

Kejadian itu berlaku pada jarak kira-kira 500 meter iaitu sehari selepas kes ragut yang menyebabkan pengurus sebuah syarikat makanan segera, Siti Norzanaliza Karman, 27, cedera selepas bergelut dengan peragut di hadapan sebuah bank di Jalan Sulaiman, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Abu Abdul Ghani, berkata, lelaki itu berusia lingkungan 20-an itu kini di hantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk menjalani rawatan berikutan kecederaan kakinya.

Beliau berkata, lelaki itu akan ditahan mengikut Seksyen 324 Akta Kanun Keseksaan kerana cuba meragut dan percubaan mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

“Polis sedang memburu rakan lelaki itu bagi membantu siasatan dan menasihatkan wanita supaya berhati-hati terutama ketika sedang berjalan dengan membawa beg tangan berikutan kes ragut yang sering berlaku sekarang,” katanya.

Sementara itu, Norazura berkata, dia bersyukur kerana tidak cedera dalam kejadian itu dan dompetnya juga dapat dikembalikan selepas peragut itu berjaya ditahan.