10 December 2004

Finally she just "had an accident"

[Crimes]

From Berita Harian

Tiada saksi lihat Sanorfizah diragut’

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Amir Sulaiman, menjelaskan polis terpaksa merumuskan kematian Sanorfizah Salleh, 31, akibat kemalangan jalan raya bukannya ragut kerana tiada saksi tampil menyatakan melihat kejadian ibu kepada enam anak itu ditendang peragut.

Beliau berkata, timbul banyak persoalan terhadap kejadian yang berlaku pada 20 Oktober lalu yang menjurus kepada Sanorfizah diragut, seperti beg tangan mangsa tidak ditemui hingga kini.

Namun katanya, hanya seorang saksi melihat Sanorfizah sebelum kemalangan berkenaan iaitu pemandu lori terbabit.

"Berdasarkan keterangan daripada pemandu berkenaan, beliau menyatakan melihat Sanorfizah memecut laju seperti mengejar seseorang, sebelum melanggar bonggol jalan menyebabkan motosikal dipandu hilang kawalan dan terjatuh sebelum lorinya melanggar mangsa," katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Selatan (Zon Timur) Superintendan Azmi Osman, berkata Sanorfizah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya bukannya menjadi mangsa ragut.

Azmi berkata, polis merumuskan hasil siasatan itu selepas mendapat keterangan daripada pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu, baru-baru ini.

Katanya, polis tidak pernah menutup kes berkenaan dan kelewatan menyiapkan kertas siasatan kes itu disebabkan berharap ada saksi tampil dengan keterangan, melihat Sanorfizah diragut sebelum motosikalnya ditendang.

"Bagaimanapun, kita akan mendakwa pemandu lori itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai hingga menyebabkan kematian," katanya.

Kes Sanorfizah mendapat perhatian umum kerana mangsa terpaksa melahirkan anak ketika dalam koma di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas mendapat kecederaan parah di kepala.

Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari 11 November lalu.

Ketika kejadian, Allahyarham yang sarat mengandung dan hanya menunggu hari untuk melahirkan anak keenam, koma kerana cedera parah di kepala selepas dia dikatakan diragut berhampiran Masjid Jamek Taman Cendana, Pasir Gudang.