Opinion on Runaway groom
[My Malaysiana]
From Berita Harian
From Utusan
From Utusan
From Berita Harian
Maruah lelaki Melayu tercalar
SAYA turut simpati terhadap apa yang menimpa keluarga Norlida Abdul Rahman yang menanggung malu selepas pemain bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan gagal menghadirkan diri pada majlis perkahwinan di rumah mereka di Felda Ulu Dengar, Kahang Timur, Sabtu lalu.
Lebih mendukacitakan apabila pembatalan perkahwinan dibuat dengan sikap yang amat biadab iaitu melalui penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS).
Mungkin juga penghantar SMS menganggap nilai maruah seorang gadis dan nilai perkahwinan itu hanya semurah satu mesej SMS yang dihantar.
Sikap buruk ini turut memalukan kita sebagai lelaki Melayu beragama Islam. Inikah sikap dan mentaliti pemuda Melayu mutakhir ini? Didikan apakah yang diterima pakai mereka? Jangan kerana nila setitik, bakal merosakkan susu sebelanga. Janganlah hendaknya kerana kerbau seekor ini membawa Lumpur, habis semua terpalit dengan lumpur yang dibawanya.
Tambah memalukan apabila mengetahui bakal pengantin lelaki adalah pemain bola sepak profesional pasukan Kedah. Inikah sikap dan perangai seorang yang dipanggil profesional? Mungkin dia profesional di padang bola, namun amat daif dalam menjaga adab dan tatasusila kita sebagai orang Melayu.
Tindakan yang diambil Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah untuk menamatkan kontrak pemain ini serta-merta amat dialu-alukan kerana ternyata pemain ini menonjolkan imej buruk kepada masyarakat.
Memanglah kita tidak boleh terus menghukum dan meletakkan seratus peratus kesalahan di bahu Hasmawi tetapi tindakan membatalkan perkahwinan melalui SMS amat tidak beradab dan kurang ajar.
Apatah lagi pembatalan dilakukan hanya 19 jam sebelum majlis dilangsungkan. Bayangkan kalau kita sendiri melalui saat itu. Kepada Norlida, ketabahan anda amat kami kagumi. Sesungguhnya, benarlah jodoh, ajal dan maut, semuanya di tangan Allah Maha Esa.
Sebagai manusia, kita perlu berusaha dan berikhtiar sebaik mungkin dengan mengikut panduan yang dibawa utusan-Nya, Nabi Muhammad SAW. Jadikanlah peristiwa ini pengajaran untuk kita kembali menjenguk perilaku anak muda terutama anak Melayu.
ROHAIFI AZRI, Kuala Lumpur.
From Utusan
Simpati pada Norlida, cuba fahami Hasmawi
Saudara Pengarang,
SAYA bersimpati dengan dilema yang dihadapi oleh Norlida Abdul Rahman yang terpaksa bersanding bersendirian kerana pengantin lelaki Hasmawi Hassan seorang pemain Bolasepak Malaysia Kedah tidak menghadirkan diri.
Beliau mengirim pesanan ringkas (SMS) kepada pengantin perempuan menyatakan tidak dapat hadir dan ingin memutuskan hubungan di antara mereka yang mana pertunangan mereka telah memakan masa hampir dua tahun.
Memanglah sesiapa yang berada di tempat Norlida tentu berasa sedih di atas apa yang dilakukan oleh pengantin lelaki.
Tetapi kalau dilihat dari sudut positif Norlida patut bersyukur kerana pengantin lelaki berterus-terang kepadanya tentang hubungan mereka sebelum mereka diijabkabulkan.
Pada saya Hasmawi bersikap sebagai seorang gentleman dengan berterus-terang menyatakan bahawa mereka tidak akan bahagia selepas diijabkabulkan nanti.
Saya pasti jika diteruskan juga perkahwinan tersebut akan menimbulkan masalah dan kemungkinan perceraian akan berlaku.
Kalau tidak pun salah seorang atau kedua-duanya akan menderita. Kebiasaannya pihak perempuan akan lebih menderita jika berlaku masalah rumah tangga.
Cuma yang jadi persoalannya mengapa di saat akhir baru Hasmawi menyatakan hasratnya itu.
Pada saya, Hasmawi bergelut dengan jiwanya sendiri sama ada hendak meneruskan perkahwinan atau berterus-terang dengan Norlida.
Jika diteruskan juga perkahwinan itu sudah tentu ada yang akan menderita.
Kebanyakan lelaki tidak mempunyai semangat kental untuk berterus-terang seperti yang dimiliki oleh Hasmawi, sebab itulah kita dapati banyak perceraian berlaku di kalangan pasangan yang baru berkahwin sejak kebelakangan ini.
Keluarga Norlida patut berterima kasih pada Hasmawi atas sifat berterus-terangnya itu bukannya mengambil jalan singkat untuk menyaman Hasmawi.
Memanglah jika sekali fikir semua orang akan marah atas sikap Hasmawi itu, tetapi saya rasa kita patut berfikiran rasional dalam hal ini.
Jika dipaksa juga Hasmawi kahwin, saya yakin Norlida tidak akan bahagia. Biarlah mereka mengambil jalan mereka sendiri.
Norlida seorang gadis yang cantik, saya yakin selepas ini dia pastinya akan berjumpa dengan jejaka yang betul-betul menyayanginya.
Saya juga berasa terkilan dengan Persatuan Bolasepak Kedah yang berfikiran singkat dan tidak rasional dengan membuang Hasmawi dari menyertai pasukan Kedah untuk musim akan datang.
Hasmawi masih muda janganlah membunuh kerjaya Hasmawi atas alasan disiplin.
Selidik dahulu apa yang bermain di fikiran beliau, barulah membuat tindakan.
Pada masa sekarang untuk mendapat lelaki yang berterus-terang seperti Hasmawi amat susah kerana yang ada banyak yang 'tanam tebu di bibir'. - KAKAK SIMPATI, Dungun, Terengganu.
From Utusan
Beri Hasmawi peluang - Akmal
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
RAKAN sepasukan Hasmawi Hassan, Akmal Rizal Rakhli berharap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi peluang kepada penyerang muda itu membela diri sebelum membuat keputusan menggugurkannya.
Akmal yang terkejut dengan laporan KFA menggugurkan Hasmawi kelmarin selepas pemain itu membatalkan pernikahan dengan tunangnya, Norlida Abdul Rahman, 23, melalui SMS baru-baru ini berkata, masalah Hasmawi bersifat peribadi.
Lagipun katanya, masalah yang dicetuskan pemain berusia 23 tahun itu tidak melibatkan disiplin dalam pasukan apatah lagi ia berlaku ketika rehat Liga Bola Sepak Malaysia.
"Kedah bakal kehilangan seorang pemain muda berbakat yang sedang meningkat naik.
"Hasmawi seorang pemain yang berdisiplin dan saya menyokong penuh supaya terus kekal.
"Saya berharap PFA meneliti semula keputusan tersebut yang pada pandangan saya dibuat secara tergesa-gesa tanpa memberi peluang Hasmawi menerangkan perkara yang sebenar.
"Sedangkan pada saya masalah tersebut boleh diselesaikan kedua-dua pihak menerusi perbincangan," katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin Timbalan Presiden KFA, Datuk Chong Itt Chew berkata pihaknya setuju sebulat suara menamatkan kontrak penyerang itu sebagai amaran kepada pemain lain bahawa KFA tidak bertolak ansur sekali pun membabitkan soal peribadi jika ia boleh menjejaskan imej pasukan.
Keputusan diambil setelah Hasmawi membatalkan pernikahan dengan tunangnya menerusi SMS Norlida, 19 jam sebelum majlis pernikahan mereka Sabtu lalu.
KFA akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin bagi membincangkan perkara berkenaan supaya penamatan kontrak Hasmawi dibuat mengikut prosedur.
Tambah Akmal, dia juga yakin Hasmawi akan tampil memberi penjelasan kepada pihak pengurusan berhubung kes beliau sebagai jalan terbaik untuk dia kekal bersama Kedah.
Menurutnya, Hasmawi yang didakwa 'menghilangkan diri' sejurus tersiar laporan pembatalan saat akhir pernikahannya, sebenarnya tidak sengaja berdiam diri.
"Saya yakin dia tidak melarikan dari tanggungjawab atas apa yang berlaku cuma rasa rasa buat masa ini dia mahu menenangkan fikiran.
"Saya yakin dia akan menyelesaikan masalah peribadinya dalam sedikit masa lagi juga dengan pihak pengurusan Kedah," katanya
<< Home