22 December 2004

Yess thats you are right Ms. Norlida

[My Malaysiana]

From Berita Harian

Norlida rayu KFA jangan tamat kontrak Hasmawi

By Ahmad Naim Tahir

KLUANG: Biarpun hatinya remuk kerana dimalukan, Norlida Abdul Rahman merayu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak menamatkan kontrak bekas tunangnya, Hasmawi Hassan, semata-mata akibat masalah peribadi mereka.

"Saya rayu (KFA) jangan tamatkan kontraknya....itulah periuk nasi dia," kata jururawat berkenaan ketika ditemui di pejabat peguam, K Siladass & Partners, di sini, petang semalam.

Katanya, adalah tidak wajar jika kontrak Hasmawi ditamatkan kerana masalah yang tiada kaitan langsung dengan prestasi permainannya, sebaliknya berpunca daripada soal peribadi.

"Saya ada baca dalam akhbar bahawa KFA akan menamatkan kontraknya tahun depan kerana masalah kami ni....saya harap janganlah buat begitu.

"Masalah ini peribadi antara kami....mana dia nak cari duit...nak bayar pinjaman keretanya lagi...," katanya yang ditemani abangnya, Mohd Zain, 28, ke pejabat peguam berkenaan.

Laporan akhbar semalam memetik Naib Presiden KFA, Datuk Chong Itt Chew, berkata pihaknya setuju sebulat suara untuk menamatkan kontrak penyerang itu sebagai amaran kepada pemain lain bahawa KFA tidak bertolak ansur sekali pun membabitkan soal peribadi jika ia boleh menjejaskan imej pasukan.

Katanya, persatuan itu akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin bagi membincangkan perkara berkenaan supaya penamatan kontrak Hasmawi dibuat mengikut prosedur.

Sementara itu, Presiden KFA, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang juga Menteri Besar Kedah dilaporkan berkata, tindakan Hasmawi itu menjejaskan maruah Islam dan bangsa Melayu jika benar berlaku sedemikian.

Dalam perkembangan lain, Norlida mengucapkan terima kasih kepada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak yang bersimpati dengan kejadian menimpanya dan keluarga.

"Ramai yang menghubungi dan melahirkan simpati...saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada mereka, juga kepada pihak yang menawarkan pelbagai bantuan seperti khidmat guaman kepada saya," katanya.

Antara pihak yang menawarkan khidmat guaman percuma kepada gadis berkenaan dan keluarganya ialah Gerakan Belia 4B Johor (Belia 4B) menerusi Pengerusinya, Syed Hood Syed Edros.

Bagaimanapun, keluarga jururawat itu semalam secara rasmi melantik firma guaman, Tetuan K Siladass & Partners untuk menguruskan tindakan undang-undang berhubung kes berkenaan.


From Utusan

Norlida rayu KFA terus guna khidmat Hasmawi

KLUANG 21 Dis. - Atas dasar perikemanusiaan, Norlida Abd. Rahman, 23, merayu jasa baik Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak menamatkan kontrak pemainnya, Hasmawi Hassan walaupun bekas tunangnya itu bertindak membatalkan pernikahan mereka pada saat-saat akhir Jumaat lalu.

Menurut Norlida, masalah yang timbul kini adalah antara mereka berdua dan dia berharap agar Hasmawi dapat terus bermain bersama pasukan Kedah kerana itu adalah mata pencariannya.

Beliau berkata demikian sebagai susulan daripada kenyataan Naib Presiden KFA, Datuk Chong Itt Chew, bahawa KFA akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin bagi memastikan kontrak pemain itu ditamatkan mengikut prosedur.

"Memang saya marah dan kesal atas apa yang berlaku tetapi ini adalah masalah peribadi kami, saya harap KFA tidak menamatkan kontraknya.

"Ini adalah masalah kami berdua tetapi tidak seharusnya melibatkan periuk nasi Hasmawi yang bergantung hidup sebagai pemain bola sepak profesional,'' katanya.

Jururawat yang bertugas di Klinik Kesihatan Pontian itu mengemukakan permintaan tersebut ketika ditemui wartawan di pejabat peguam K. Sila Dass and Partners di sini hari ini.

Norlida telah melantik peguam K. S. Dass untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Hasmawi berikutan perbuatannya yang memalukan dia dan keluarganya.

Beliau yang kelihatan sugul meskipun sentiasa tersenyum tidak menafikan berasa malu untuk berdepan dengan masyarakat tetapi dia tetap tabahkan hati dan menganggap semua itu adalah mimpi ngeri.

Itt Chew dalam kenyataannya semalam menganggap tindakan Hasmawi yang membatalkan perkahwinannya 19 jam sebelum majlis bermula turut memberi imej buruk kepada pasukan bolasepak Kedah yang mempunyai penyokong besar serta mengaibkan seluruh rakyat Kedah.

Tindakan Hasmawi itu katanya, memberi imej buruk kepada penyokong Kedah walaupun ia merupakan masalah peribadi dan KFA tidak berminat untuk menyimpannya dalam skuad Kedah musim akan datang.

Pemain itu adalah kesebelasan utama pasukan Kedah yang tewas 0-1 di tangan Perlis dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada 4 Disember lalu.

Hasmawi yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan Norlida pada 18 Disember lalu membatalkan pernikahan mereka dengan hanya menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) 19 jam sebelum majlis pernikahan di Felda Ulu Dengar, Kahang Timur.

Namun sejak dari itu dia telah menghilangkan diri hingga ibu bapanya juga gagal mengesan di mana dia menyembunyikan diri.

"Sehingga kini saya masih tertanya-tanya dan tidak tahu apa punca sebenar dia membatalkan perkahwinan ini tanpa sebarang sebab yang munasabah kerana antara kami tidak pernah berlaku perselisihan faham," kata Norlida tenang.

Norlida menambah dia mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bersimpati dengannya yang juga menawarkan khidmat guaman secara percuma.

"Saya amat berterima kasih kepada mereka yang menghubungi dan mengunjungi keluarga saya dan melahirkan rasa simpati, tidak sangka ramai yang memberi simpati," ujarnya.